KOTA BHARU: Tindakan dipercayai bermain pemetik api dalam kereta ketika ibunya mengisi minyak menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun melecur 15 peratus di muka, badan dan kaki akibat disambar api.
Dalam kejadian di stesen pam minyak Guchil, Kuala Krai, dekat sini, semalam, Saifuddin Ismail Din bersama ibunya, Zakiah Mohd Det, 31, baru menghantar bekalan cendol di pasar pagi Guchil dan singgah di stesen minyak berkenaan pada jam 9 pagi untuk mengisi minyak.
Bapa mangsa, Ismail Din Awang Nor, 36, seorang mekanik, berada di rumah di Sungai PAS ketika dimaklumkan isterinya mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, isterinya sedang mengisi petrol ke dalam tangki sebelum api menyambar ke dalam kereta secara tiba-tiba.
"Isteri saya berlari membawa anak keluar dari tempat duduk penumpang di belakang.
"Anak saya melecur di muka dan kakinya. Mujurlah api dapat dipadamkan oleh pembantu stesen minyak," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.
Ismail Din berkata, isterinya terus membawa Saifuddin, anak ketiga daripada empat beradik itu ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HRPZ II, di sini untuk rawatan lanjut.
"Saya hairan bagaimana dia bermain dengan pemetik api sedangkan saya tidak merokok.
"Mungkin dia mengambil pemetik api di rumah," katanya. - via bharian.com.my