Strok Haba: Pembunuh Senyap


Kadangkala kita mengalami kesukaran mendapatkan parkir kenderaan ketika hendak mengambil dobi atau membayar bil yang pada perkiraan kita ianya mengambil masa yang amat singkat. Pernahkah anda terfikir untuk meninggalkan anak anda, atau binatang peliharaan anda di dalam kereta seketika? Tindakan ini sebenarnya boleh mengundang padah.

Malaysia pernah digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun tidak berapa lama dahulu. Kanak-kanak malang tersebut terperangkap di dalam kereta. Siasatan lanjut mendapati ibunya merupakan seorang guru yang bergegas ke mesyuarat di sekolah beliau, meninggalkan mangsa yang sedang tidur di kerusi belakang kereta. Ketika dijumpai 5 jam kemudian, kanak-kanak malang tersebut telah pun meninggal dunia.

Apa yang saya hendak kongsikan bersama ialah, apakah kemungkinan yang menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut berlaku dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan ia terjadi kepada kita atau keluarga kita.

Kajian menunjukkan bahawa suhu dalam sebuah kereta akan meningkat secara mendadak sekiranya kereta dibiarkan di bawah panas matahari. Suhu atau tahap kepanasan boleh meningkat antara 10 ke 20 darjah dalam masa 20 minit sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan kepanasan melampau kepada bayi atau kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan suhu dalaman badan seseorang secara mendadak sehingga 41 darjah Celsius.

Kepanasan ini akan menyebabkan proses berpeluh berlaku secara semulajadi (proses ‘normal regulation’ bagi menyejukkan badan kita) yang seterusnya menyebabkan kekurangan kandungan air dalam badan (dehydration), sawan, kekeliruan (confusion), kerosakan otak dan organ dalam badan dan seterusnya kematian. Fenomena ini dikenali sebagai Strok Haba atau ‘Heat Stroke’.

Seseorang boleh lemas dan seterusnya mengakibatkan kematian sekiranya mereka mengalami (suffocation) kekurangan udara (oksigen) akibat tingkap ditutup rapat. Membuka tingkap sekadar beberapa inci atau membiarkan penghawadingin (aircond) dalam keadaan berfungsi juga tidak dapat memastikan keadaan ini tidak berlaku.

sumber mamapeduli.info

Suka dengan ini?
|