9 Petua Hilangkan Sakit Kepala Dengan Cepat.

9 Petua Hilangkan Sakit Kepala Dengan Cepat
Rasa sakit yang berdenyut-denyut di bahagian kepala pasti akan mengganggu rutin seharian. Kepala terasa berat. Sakit kepala adakalanya menyerang di bahagian depan kepala ataupun mungkin di kedua-dua belah sisi kepala.
Selain mengambil ubat penahan sakit, ada beberapa petua mudah yang kami kongsikan dalam artikel ini yang dapat membantu anda untuk mengurangkan atau menghilangkan rasa sakit kepala yang anda alami.
9 Petua Hilangkan Sakit Kepala Dengan Cepat
  1. Tuala Basah – Kebiasaannya sakit kepala disebabkan oleh cuaca yang terlalu panas ataupun suhu badan yang agak tinggi seperti demam. Untuk merawat sakit kepala ini, anda boleh ambil sehelai tuala kecil dan basahkan dengan air sejuk. Letakkan di atas dahi sambil anda berada dalam keadaan berbaring. Selain dapat mengurangkan rasa sakit, tuala yang basah itu dapat menurunkan suhu badan dan dapat membuatkan anda berada dalam keadaan yang lebih tenang atau relaks.
  2. Rehatkan Diri Dalam Bilik Yang Gelap – Cahaya boleh menjadi penyebab sakit kepala. Jika sakit kepala yang anda alami berpunca dari cahaya skrin komputer atau silau lampu yang agak terang, kami syorkan anda mencari sebuah ruang atau bilik yang gelap untuk berehat seketika. Pejam mata dan cuba untuk rehatkan diri dan fikiran.
  3. Sapu Minyak Angin – Jika anda tidak suka menelan pil penahan sakit ketika diserang sakit kepala, anda boleh cuba sapu minyak angin di bahagian kiri dan kanan dahi. Rasa panas dari minyak angin akan dapat mengurangkan rasa sakit yang anda alami dan bau minyak angin itu pula dapat membuatkan anda rasa lebih selesa.
  4. Urut Atau Picit Kepala – Bila anda diserang sakit kepala, cara yang paling mudah untuk memberi kelegaan adalah dengan mengurut and memicit kepala anda secara perlahan. Urut di bahagian kening secara membulat. Urutan dapat mengurangkan sakit kepala selain membuatkan anda berasa lebih tenang.
  5. Mandi – Mandi dengan air sejuk atau suam boleh membuatkan badan berasa lebih relaks. Jika anda diserang sakit kepala akibat cuaca panas atau suhu badan yang panas, cara yang paling pantas untuk menghilangkan rasa sakit kepala adalah dengan mandi.
  6. Pengambilan Minuman Berkafein – Minuman berkafein seperti kopi dapat membantu anda untuk mengurangkan rasa sakit di bahagian kepala. Jika anda sakit kepala, cuba bancuh kopi pekat dan minum. Namun harus diingatkan terlalu banyak pengambilan minuman berkafein tidak elok untuk kesihatan.
  7. Lebihkan Pengambilan Air – Adakalanya sakit kepala juga boleh berpunca dari dehidrasi akibat kurang minum air. Jadi pastikan anda minum air secukupnya terutama ketika cuaca panas ataupun ketika anda melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh dengan banyak berbanding biasa.
  8. Minum Teh Halia – Sakit kepala yang anda alami mungkin juga berpunca dari angin dalam badan. Cara yang paling mudah untuk merawat sakit kepala jenis ini adalah dengan mengambil teh halia yang panas. Pengambilan teh halia juga sesuai untuk mereka yang sakit kepala akibat migraine.
  9. Bersenam – Rasa sakit di bahagian kepala juga boleh berpunca akibat stress atau tekanan. Cara paling mudah untuk merawat sakit kepala akibat stress adalah dengan beriadah atau melakukan senaman ringan. Kebiasaannya selepas bersenam, badan akan berasa lebih cergas dan tekanan akan makin kurang.
Mudah-mudahan 9 Petua Hilangkan Sakit Kepala Dengan Cepat yang kami kongsikan ini dapat membantu anda untuk merawat rasa sakit kepala tanpa perlu menelan pil penahan sakit. Namun harus diingatkan, jika sakit kepala yang dialami berlarutan untuk tempoh yang lama atau secara kerap, eloklah anda jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
sumber notawanita.com

Suka dengan ini?
|